Popular Post

Posted by : Unknown Khamis, 24 Mei 2012

KATA orang, cemburu itu tandanya sayang. Namun, sedar atau tidak, perasaan cemburu itu ada kalanya boleh menjadi musuh yang membawa kepada kehancuran sesebuah rumah tangga.

Dari sudut psikologi, cemburu adalah perasaan sakit hati, marah, tidak percaya, dan kurang yakin seseorang terhadap pasangan yang dicintai. Selalunya, perasaan ini timbul lantaran sikap suami atau isteri yang gemar membayangkan pasangannya mempunyai hubungan istimewa dengan seseorang di luar pengetahuannya.

Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Prof Suradi Salim, berkata masalah cemburu di kalangan suami isteri sebenarnya berkait rapat dengan tindakan seseorang dari sudut dalaman dan luaran.

Penilaian dari kedua-dua sudut itu akan menentukan sama ada seseorang yang berperasaan cemburu itu mengalami masalah psikologi atau tidak.

“Jika masalah itu berpunca daripada aspek dalaman, psikologi seseorang itu mungkin terganggu dan sering kali menimbulkan perasaan bimbang, resah, gelisah dan syak wasangka terhadap pasangan. Sebaliknya, jika pasangan mempamerkan tindakan negatif antaranya mengecam dan memberontak, mereka dikatakan menunjukkan sifat cemburu itu dari aspek luaran.

“Dari situ kita boleh nilai sama ada cemburu yang ada itu mendatangkan masalah atau tidak. Faktor yang menjadi penyumbang kepada masalah ini tidak banyak kaitannya dengan keegoan suami. Sebaliknya, kurangnya keyakinan, dan kepercayaan kepada pasangan menyumbang kepada masalah ini. Ini lebih berkaitan dengan psikologi seorang itu,” katanya.

Beliau berkata, kurang persefahaman dan interaksi kedua-dua belah pihak membuatkan masalah itu semakin meruncing. Kesan positif dan negatif boleh timbul daripada sifat cemburu ini.

Positif jika perasaan berkenaan dapat menghalang seseorang itu daripada berlaku curang terhadap pasangannya. Namun, kesan negatif daripada sifat itu tidak boleh dipandang enteng.

Perasaan cemburu yang tidak terkawal sering kali membawa kepada perlakuan di luar batas kemanusiaan antaranya bertindak memukul, mendera dan membunuh isteri jika hilang pertimbangan.

Dalam hubungan ini, Prof Suradi berkata, apabila seseorang itu sudah berkahwin perlu menanamkan sifat kesetiaan kepada pasangannya. Keyakinan, perhatian dan kasih sayang yang dicurahkan serba sedikit mengurangkan perasaan cemburu suami.

Tingkah laku sebagai isteri atau suami dan batas pergaulan dengan bukan mahram perlu dijaga dan diawasi setiap masa.

“Ikatan perkahwinan perlu ada sikap saling mempercayai antara satu sama lain. Oleh itu, sebelum seseorang berkahwin, terlebih dulu kita digalakkan mengenali pasangan yang bakal dikahwini. Ini serba sedikit membantu wanita supaya tidak mengalami pelbagai masalah selepas berkahwin kelak.

“Jika bakal suami anda menunjukkan sikap cemburu keterlaluan, elok wanita itu berfikir panjang jika ingin membina hubungan yang lebih serius kerana bimbang banyak perkara buruk boleh berlaku selepas mereka berkahwin.

“Suami juga tidak boleh ambil sikap lepas tangan dan hanya menyalahkan wanita semata-mata. Mereka seharusnya bertindak menyiasat dulu perkara yang menjadi punca kepada perasaan cemburu itu.

“Sewajarnya, suami tidak boleh bertindak melulu tanpa sebarang bukti kerana ini akan memberi kesan buruk dalam jangka masa panjang terhadap hubungan perkahwinan,” katanya.

Beliau berkata, dari aspek psikologi psikologi seseorang yang bersikap sebegitu biasanya kurang yakin kepada diri sendiri dan sering kali berprasangka buruk serta was-was kepada pasangannya.

Selain itu, seseorang yang mempunyai pengalaman masa lampau yang buruk akan sentiasa menganggap pasangannya tidak boleh dipercayai. Faktor keistimewaan yang dimiliki isteri antaranya berpendidikan tinggi dan mempunyai daya tarikan fizikal menarik juga menjadi punca kepada masalah ini.

“Dalam Islam, suami perlu ada sifat cemburu dan sentiasa was-was kepada isteri. Begitu juga isteri. Namun, ia perlu berada pada keadaan terkawal dan tidak memudaratkan diri sendiri serta hubungan suami isteri.

“Kedua-dua pihak harus menjaga hubungan dengan sebaiknya untuk mengelak masalah cemburu ini,” katanya.

Panduan elak pasangan cemburu

1. Memberi sepenuh kasih sayang dan perhatian supaya suami tidak syak wasangka.

2. Mewujudkan komunikasi dua hala yang berkesan antara kedua belah pihak.

3. Jika hubungan jarak jauh, sering kali berhubung menggunakan telefon, sistem pesanan ringkas (sms), atau e-mel untuk mengeratkan kasih sayang

4. Bercerita apa saja yang berlaku sama ada di tempat kerja atau dengan rakan.

5. Elak melakukan perkara yang membawa kepada cemburu pasangan.

6. Kenalkan rakan pejabat dan kenalan rapat anda kepada pasangan.

Leave a Reply

Komen Anda amatlah Dihargai, Segala Komen Adalah tanggungjawab Individu tersebut.

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

- Copyright © Cerita Farjannah - cerita farjannah - Powered by Blogger - Designed by de lala -