Popular Post

Posted by : Unknown Jumaat, 29 Jun 2012






Hari pertama bergelar Muslimah:

"Aliya, kamu tak perlu tergesa-gesa pakai tudung. Ambil masa, jangan ikut desakan orang," tiba-tiba seorang pensyarah saya memberi nasihat setelah berita saya baru memeluk Islam sampai kepada pengetahuannya.
Saya terdiam. Aduh, konfus konfus.. mengapa dia berkata begitu? Bukankah pemakaian tudung wajib untuk semua wanita Islam? Cuma kerana saya masih baru, saya tidak boleh terus dipaksa, hanya boleh dinasihati. Saya angguk sahaja kepadanya sambil mengiakan; kerana dia pensyarah lelaki, tetapi dalam hati terfikir juga - adakah isterinya memakai tudung?

Ustazah-ustazah yang mendampingi saya dahulu juga tidak pernah menasihati atau menerangkan kepada saya akan keperluan memakai tudung. Mungkin kerana menganggap saya masih baru bergelar Muslimah. Terkejut mereka apabila saya muncul di hadapan mereka memakai tudung dua minggu kemudiannya [alhamdulillah, mengikut pengakuan mereka, beberapa orang mualaf sebelum saya juga mengambil keputusan memakai tudung tanpa campurtangan pihak universiti]. Alhamdulillah, kami sedar tanggungjawab kami sebagai Muslimah walaupun berat mulut ustazah untuk menasihati.

Baru-baru ini

"Akak tak nak cubakah tudung 60 inci?"
"Tak mahulah, nanti nampak macam ustazah jer," katanya.
Saya tersenyum."Tak baikkah digelar ustazah?"
"Rasa diri tak layak la Aliya. Orang yang pakai tudung labuh[besar] orang yang kuat agama. Kita yang biasa-biasa ni, cukuplah tudung biasa."
Orang biasa-biasa hanya perlu bertudung biasa? Mengapakah mereka fobia dengan tudung besar labuh itu? Ada tag tertentukah yang ditujukan kepada Muslimah bertudung besar labuh?

Tudung biasa, tudung 45-50 inci. Lipat jadi tiga segi untuk menutup kepala. Tapi masalahnya, untuk menutup aurat [rambut]dengan sempurna, perlu pastikan tudung itu menutup bahagian dada di samping rambut di kepala. Kalau pakai tudung bawal berwarna cerah atau tudung kain chiffon, akan timbul masalah. Kadang-kadang bila dipakai, dada ditutup tetapi bentuk leher samar-samar kelihatan. Kadang-kadang bila dipakai, ada bahagian dada yang masih terdedah. Kalau nak kelihatan kemas dan menutup aurat kepala dengan sempurna, kadang-kadang perlu melipat berulang kali supaya tudung itu cukup labuh tetapi masih menutup bahagian leher dengan elok. Dahulu saya pakai juga anak tudung yang menutupi bahagian leher sebelum memakai tudung biasa supaya tidak bentuk leher tidak kelihatan tetapi kini, dalam cuaca yang semakin panas, tak sanggup la, berpeluh di bahagian leher, berwap! Sebab itu kini jarang memakai tudung yang berwarna cerah, kerana mahu elakkan memakai tudung 2 lapis.

Kelebihan tudung bersaiz 60 inci adalah ia lebih mudah dipakai, walaupun lebih susah untuk diseterika.
Tak kira bagaimana kita lilit di atas kepala, ia masih akan jatuh elok menutupi bahagian dada, dan turut menutupi bahagian pinggang si pemakai dari dilihat orang di belakang [tak nampak sangat kita ini berbadan ala kerengga atau ala bola]. Satu kelebihan lagi, apabila memakai tudung labuh begini, diri lebih berhati-hati dalam penampilan - tak sesuai la bertudung labuh tetapi memakai t-shirt lengan pendek, tidak sesuailah bermekap tebal ala opera cina bila bertudung labuh, kerana imej Muslimah bertudung labuh bukan begitu!Cuma masalahnya, bukan mudah hendak mendapatkan tudung bersaiz 60 inci di kedai-kedai. [mujur ada butik online sekarang, boleh tempah].


Ada orang berkata, Muslimah yang bertudung besar dan labuh, orangnya yang lebih alim dan berwatakan lebih serius. Ada pula yang berpendapat, hanya tudung labuh yang paling sesuai untuk Muslimah. Bagi saya pula, tak kiralah tudung apa jenis pun, asalkan ia dapat menutup aurat [rambut, leher, dada] dengan sempurna. Malah sekiranya pandai melilit selendang tebal menutup aurat di kepala dan dada, itu sudah memadai! Bukannya Islam nyatakan mesti pakai tudung labuh bidang 60 inci baru jadi Muslimah sejati, huhuhu. Tolong jangan fikir sebegitu! Muslimah yang bertudung biasa bidang 45 inci juga sudah sempurna menutup aurat sekiranya tudung itu tidak jarang dan dapat menutupi dadanya, serta dia memakai pakaian yang labuh, stokin tangan serta stokin kaki.


"You tak macam [Muslimah yang saya kenal] yang lain, you boleh lawak dengan kami, sporting, tak kedekut ilmu, tak sangka I. I dulu fikir you sombong dan fanatik agama, sorry ahhh," komen seorang wanita Cina kepada seorang Muslimah bertudung besar dan labuh.
NonMuslim banyak berkawan dengan mereka yang bertudung biasa atau tidak bertudung langsung, tetapi takut mendekati Muslimah bertudung besar, kerana menganggap mereka estrimis agama. Tengok cara pemakaian Muslimah yang menutup aurat, dengan stokin tangan dan kaki serta tudung labuh, mereka takut. Bukan takut dibunuh, tetapi takut tak bertempat; takut akan sentiasa disebut-sebutkan Islam di hadapan mereka dan disuruh masuk Islam. Padahal bukan semua Muslimah bertudung besar labuh berwatak serius. Kebaikannya pula, NonMuslim anggap Muslimah bertudung besar kuat beragama, dan kalau ada persoalan tentang agama Islam, akan lebih suka merujuk kepada golongan ini [bermakna bersedialah selalu untuk menjadi jurucakap Islam]. Cuma satu sahaja - Muslimah juga perlu bersikap peramah dengan nonMuslim lain. Janganlah asyik bergaul dengan cliqueanda sahaja. [saya dapati Muslimah bertudung besar jarang berkawan dengan wanita nonMuslim, mengapa?].
Cuma saya harap, Muslimah yang melabuhkan tudung sehingga menutupi dada [tak kiralah bidang 45 inci atau 60 inci], tolong jagalah imej anda sebagai wanita Islam. Ketahuilah bahawa tugas menyebarkan dakwah Islamiyah juga berlaku tanpa kita sedari, iaitu apabila masyarakat sekeliling menilai Islam melalui tingkahlaku dan percakapan kita yang bertudung, lebih-lebih lagi Muslimah bertudung labuh 60 inci. Ada suara sumbang yang memerli dengan menyatakan bahawa di sebalik tudung litup Muslimah, bahasa yang digunakannya bukan main kasar lagi, lebih mengumpat daripada memuji, tingkahlaku lebih teruk daripada yang tidak bertudung [alasan mereka untuk tidak bertudung]Hal itu saya tidak mengiakan mahupun menafikan; kerana tiada sesiapapun yang tidak melakukan kesalahan. Cuma kita yang bertudung perlu sentiasa cermin diri sendiri, jaga penampilan dan perwatakan kita. Jangan kita pula turut terbabit dalam 'skandal' sebegitu dan merosakkan nama baik Islam.
Saya pula bukan bertudung besar labuh sepenuh masa, bergantung kepada keadaan. Ada masanya saya bertudung biasa, ada ketikanya saya melilit selendang di atas tudung ekin, dan bila mengejar waktu, saya capai sahaja tudung berbidang 60 inci yang tergantung atau tudung ekin berbidang besar. Kebebasan begini lebih memudahkan bagi saya daripada menetap satu sahaja cara penampilan bertudung.
Alhamdulillah, sekarang bertambah koleksi tudung dalam almari. Nanti saya tunjukkan apa yang terkumpul dalam tempoh 2 tahun setengah bergelar Muslimah. Terima kasih kepada yun yang menghadiahkan 2 tudung kepada saya yang saya terima semalam, semoga Allah berkati dengan rezeki halal yang melimpah :)

Credit to: Mimie colourfull

{ 4 comments... read them below or Comment }

  1. Saya juga bertudung labuh..
    Alhamdulillah..
    (^_^)..

    BalasPadam
  2. Saya kini bertudung biasa menutup kepala rambut dan dada dan tdk jarang......hasrat suami saya beliau ingin saya memakai tudung labuh......insyaallah saya akan memenuhi hasratnya....

    BalasPadam
  3. Subhanallah, semoga di berikan kekuatan kepada semua muslimah out there

    www.facebook.com/adanagallery
    www.adanagallery.com

    BalasPadam

Komen Anda amatlah Dihargai, Segala Komen Adalah tanggungjawab Individu tersebut.

- Copyright © Cerita Farjannah - cerita farjannah - Powered by Blogger - Designed by de lala -