- Back to Home »
- article agama »
- ANTARA AKIDAH SYI’AH YANG MENYELEWENG DAN BERCANGGAH DENGAN AJARAN ISLAM.
Posted by : Unknown
Ahad, 5 Ogos 2012
ANTARA AKIDAH SYI’AH YANG MENYELEWENG DAN BERCANGGAH DENGAN AJARAN ISLAM.
AGAMA SYI‘AH - Penyelewengan Al-Quran. Golongan Syi’ah terutamanya ulama-ulama yang menjadi paksi kepada agama mereka beri’tiqad bahawa al-Quran yang dihimpunkan oleh sahabat-sahabat r.a. dan berada di tangan umat Islam sekarang telah diselewengkan dan ditokok tambah. Antaranya Sayyid Ni`matullah al-Jazaairi mengatakan: “Bahawa tokoh-tokoh Syi‘ah telah sepakat tentang sahihnya hadits-hadits yang sampai ke peringkat mutawaatir yang menunjukkan dengan jelas tentang berlakunya penyelewengan al-Quran (An-Nuuri At-Thabarsi, Fashlu al-Khitaab, hal. 30). Pegangan tersebut adalah berdasarkan kepada lebih daripada dua ribu riwayat sahih daripada imam-imam maksum di sisi mereka yang jelas menunjukkan berlakunya tahrif (penyelewengan) di dalam al- Quran.
AGAMA ISLAM- Ulama-ulama Islam sepakat bahawa kepercayaan bahawa al-Quran telah diselewengkan adalah satu kekufuran. Ibnu Qudamah berkata: “Tiada khilaf di kalangan orang-orang Islam pendapat tentang kufurnya orang yang mengingkari al-Quran sama ada satu surah atau satu ayat atau satu kalimah yang disepakati bahawa ia adalah al- Quran.” (Lam’ah al-I’tiqad Bab Al-Quran Adalah Kalam Allah jil. 1 hal. 17).
AGAMA SYI‘AH- Kepercayaan Bahawa Imam 12 dilantik dari pihak Allah, Mempunyai Sifat- Sifat Kenabian Bahkan Imam Dianggap Lebih Tinggi Daripada Nabi. Dinyatakan dalam Kitab `Aqaid al-Imamiah oleh Syeikh Muhammad Redha al-Muzaffar, hal. 72: Akidah Kami Tentang Imam itu Maksum Kami mempercayai bahawa imam-imam itu seperti nabi-nabi, ia wajib maksum dan terpelihara daripada sifat-sifat yang buruk dan keji yang nyata dan yang tersembunyi, semenjak daripada kecil sehinggalah mati, sengaja atau lupa sebagaimana mereka juga terpelihara daripada sifat lupa, tersalah dan lain-lain. Khomeini menyatakan: “Kita tidak dapat menggambarkan para imam itu mempunyai sifat lupa dan lalai.” (Khomeini, Al-Hukumah Al-Islamiyah, hal. 91) Khomeini berkata lagi: "Sesungguhnya imam itu mempunyai kedudukan yang terpuji yang tidak sampai kepadanya malaikat yang hampir kepada Allah dan nabi lagi rasul". (Al-Hukumah al-Islamiah – hal 52)
AGAMA ISLAM- Maksum adalah sifat khusus para nabi dan rasul. Memberikan sifat tersebut kepada orang lain selain dari mereka bermakna menafikan ‘akidah bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah penyudah sekalian nabi-nabi. Allah berfirman: “Nabi Muhammad itu bukan bapa bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi dia adalah Rasul Allah dan penutup Nabi-nabi.” (Al-Ahzab 40)
AGAMA SYI‘AH- Al-Bada.’ Dari segi bahasa al-Bada' bermaksud nyata sesuatu yang sebelumnya tersembunyi. Menurut akidah Syi‘ah, al-Bada' ialah ilmu Allah berubah-ubah berdasarkan sesuatu peristiwa yang berlaku. Dalam kata lain, Allah mengetahui sesuatu perkara hanya selepas berlakunya perkara tersebut. Ini bermaksud Allah jahil atau tidak mempunyai ilmu yang meliputi. An-Naubakhti menyebutkan bahawa Ja’afar bin Muhammad al-Baqir telah menentukan anaknya Ismail sebagai Imam sesudahnya (sebagaimana ketentuan Allah kerana Syi’ah mengatakan imam-imam dilantik dari pihak Allah) dan beliau telah mengisyaratkan kepadanya semasa hidup lagi, tiba-tiba Ismail mati ketika beliau masih hidup. Maka Ja’afar pun berkata: “Tidak pernah berlaku kepada Allah (al-Bada’) berhubung dengan sesuatu seperti mana berlaku kepadanya berhubung dengan Ismail anakku.” (Firaq as-Syiah hal. 84).
AGAMA ISLAM- Ilmu Allah sejak azali adalah meliputi segala sesuatu dan tidak berlaku sebarang perubahan kepadanya mengikut peristiwa yang berlaku kepada manusia. Allah menjelaskan perkara ini di dalam al-Quran al- Karim: "Allah mengetahui pengkhianatan (penyelewengan dan tidak jujur) pandangan mata seseorang, serta mengetahui akan apa yang tersembunyi di dalam hati.”(Al-Mukmin 19). Dan: “Dan sesungguhnya Allah ilmunya meliputi segala sesuatu”.(Al-Talaq 12).
AGAMA SYI‘AH - Taqiyyah (Berpura-pura). Taqiyyah merupakan konsep atau ciri penting yang tidak dapat dipisahkan dari ajaran Syi‘ah . Taqiyyah pada hakikatnya adalah “berdusta dan berbohong”. Riwayat-riwayat tentang pentingnya taqiyyah di sisi Syi’ah banyak terdapat di dalam kitab-kitab utama mereka. Antaranya apa yang dikemukakan oleh al-Kulaini: Abu Umar al-A'jami katanya Ja’far as-Sadiq a.s. berkata kepadaku "Wahai Abu Umar, Sesungguhnya sembilan persepuluh daripada agama itu terletak pada Taqiyyah dan tidak ada agama bagi orang yang tidak mempunyai Taqiyyah dan Taqiyyah itu ada pada tiap-tiap sesuatu, kecuali dalam masalah arak dan menyapu dua khuf (al-Usul Min al-Kafi, jil. 2 hal. 217).” Di antara hakikat taqiyyah ialah apa yang disebutkan oleh Imam Jaa’far As- Sadiq a.s. kepada Sulaiman bin Khalid (perawi hadis): “Wahai Sulaiman! Sesungguhnya engkau berada di atas agama yang sesiapa menyembunyikannya akan dimuliakan oleh Allah dan sesiapa yang menyebarkannya akan dihina oleh Allah.” (Al-Kafi jil. 2, hal. 222)
AGAMA ISLAM - Jujur dan amanah adalah merupakan ciri penting di dalam Islam sehingga ia menjadi salah satu syarat kesempurnaan iman. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak beriman orang yang tidak mempunyai sifat amanah.” (Riwayat Imam Ahmad). Kerana itu ulama Islam di zaman lampau tidak mahu menerima riwayat yang dikemukakan oleh Syi‘ah kerana mereka mengamalkan pembohongan. Sehubungan dengan itu Imam Syafie berkata: “Tidak pernah aku melihat golongan yang menurut hawa nafsu yang lebih pembohong dari golongan Syi‘ah .” (Al-Kifayah, hal. 49, as- Suyuti, Tadrib Ar-Rawi, jilid 1, hal. 327)
AGAMA SYI‘AH - Mengkafirkan Para Sahabat Rasulullah s.a.w. Akidah ini merupakan salah satu ciri yang tidak dapat dipisahkan dari ajaran Syi’ah dan memisahkannya bermakna meruntuhkan ajaran Syi’ah itu sendiri. Al-Majlisi mengemukakan satu riwayat berbunyi: Kebanyakan sahabat adalah munafik, tetapi cahaya nifaq tersembunyi di zaman nabi. Tetapi apabila wafat Nabi s.a.w ternyatalah cahaya nifaq itu melalui wasiat Nabi s.a.w. dan mereka itu kembali murtad”. (Bihar al-Anwar jil. 27, hal 64). Al-Kulaini meriwayatkan dari Muhammad al-Baqir a.s. katanya: “Para sahabat telah menjadi murtad sepeninggalan Rasullullah s.a.w kecuali tiga orang dari mereka.” Aku bertanya (kata perawi): “Siapakah yang tiga itu?” Abu Jaafar menjawab: “Miqdad bin al-Aswad, Abu Zar al-Ghifari dan Salman al- Farisi.”(ar-Raudhah Min al-Kafi, jil. 8 hal 245)
AGAMA ISLAM - Keadilan dan kedudukan sahabat yang tinggi adalah jelas berdasarkan al-Quran. Antaranya: “Dan orang-orang yang terdahulu yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar" dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar”.(at-Taubah 100). Mengingkari yang sahabat adalah adil bererti mengingkari al-Quran.
AGAMA SYI‘AH - Menghalalkan Nikah Mut'ah. Nikah Mut’ah adalah sebenarnya perzinaan di atas nama Islam. Nikah Mut’ah ialah satu bentuk perkahwinan kontrak tanpa wali dan saksi, untuk suatu tempoh waktu tertentu dengan sedikit maskahwin sahaja dengan tiada sebarang tanggungjawab, nafkah, pusaka dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan perkahwinan biasa. (al-Kafi jilid 5, ms 286), Perkahwinan ini semata-mata berlandaskan nafsu dan untuk berseronok. Boleh dikahwini sehingga seribu wanita (Wasaailu As Syiah jil. 14 hal. 480). Diriwayatkan daripada Muhammad Al-Baqir berkenaan mut'ah katanya: “Ianya bukan termasuk daripada empat (isteri). Mereka tidak diceraikan dan tidak mewarisi. Mereka hanyalah perempuan yang disewakan.” (al-Kafi jilid 5, ms 284). Tidak menganggap halal mut’ah seolah-olah tidak beriman. Diriwayatkan daripada Muhammad al-Baqir katanya: “Bukan dari kalangan kami orang yang tidak mempercayai raj’ah dan tidak menganggap halal mut’ah kita”. (Man La Yahduruhu al- Faqih jil.3 hal 458)
AGAMA ISLAM - Nikah Mut'ah yang diamalkan oleh Syi’ah tiada bezanya dengan perzinaan dan pelacuran di samping merendahkan martabat wanita serendah-rendahnya. Kerana itu ia telah diharamkan oleh Nabi Muhammad s.a.w buat selama-lamanya sehingga hari kiamat menerusi hadits-hadits sahih sebelum Baginda wafat melalui beberapa orang sahabat dan salah seorangnya adalah Saidina Ali sendiri seperti katanya: "Bahawa Rasulullah s.a.w. melarang nikah mut'ah pada hari peperangan Khaibar dan melarang juga memakan daging keldai kampung." (Riwayat Ibn Majah dan al-Nasa’i)
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
BalasPadam